Panggilan Pulau

12 November



Kelmarin saya terlihat rancangan Discovery Channel yang memaparkan pengembaraan seorang penyelam ke dasar laut untuk menikmati keindahan ciptaan-Nya, lantas membuatkan saya teringat pengalaman saya bersnorkel di Pulau Pemanggil kira-kira lima bulan yang lalu. Saya ke Pulau Pemanggil bersama-sama felo dan rakan-rakan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) kolej pada akhir Jun lalu untuk menjalani kursus pentadbiran.

Sejuk-sejuk laut, gemalai angin pantai, irama ombak bertemu pasir, Subhanallah, indahnya Pemanggil! Saat saya bersnorkel, dapat saya lihat keadaan laut yang pada permukaannya kelihatan biru, gelap, dan mungkin menyeramkan, sebenarnya amatlah cantik. Ikan-ikan kecil berwarna-warni dan tumbuhan-tumbuhan laut menari-nari menghiasi pandangan saya. Saya nikmati sepenuhnya momen itu. Saya dayungkan kaki perlahan-lahan, berhati-hati untuk tidak melanggar batu karang yang keras dan mampu melukakan. Saya cuba untuk tidak mengelipkan mata, rugi rasanya jika terlepas pandang walau sesaat. Kebesaran Yang Maha Esa saya hayati dengan puji-pujian buat-Nya. Tiada apa-apa yang boleh merosakkan kebahagiaan saya pada ketika itu. 

Sayangnya kursus kami hanya berlangsung selama empat hari. Pada hari terakhir, masing-masing berat hati untuk meninggalkan pulau itu. 

"Kau orang tahu tak kenapa pulau ni namanya Pemanggil? Sebab dia akan panggil orang untuk datang dan tak bagi orang tu balik. Sebab tu kita semua rasa macam tak nak balik je ni," seloroh rakan saya semasa kami sedang menaiki bot untuk menuju ke jeti Mersing.

Mungkin gurauan itu ada benarnya? Kerana sehingga hari ini, saya masih berasa terpanggil untuk kembali ke tanah yang dikelilingi laut itu. Jika diizinkan, satu hari nanti akan saya sahut kembali panggilan pulau itu. Insyaallah.

You Might Also Like

2 comments